written in the span of 2018 until 2019
SINARAN matahari yang terik menyinari matanya. Spontan, tangan itu melindungi matanya daripada sakitnya sinar itu. Seperti hatinya bertindak balas apabila cinta itu menyakitinya.
“Hanna dah bangun?” suara Qairul
menjengah pendengarannya. Dia berpaling ke arah suara itu. Qairul mengambil
tempat di sisinya. Membantunya untuk duduk.
Spontan, kepalanya berputar dan
berfikir apakah punca dia untuk terjaga di tempat sebegini? Anaknya!
“Baby Hanna macam mana? Dia okey,
kan?” Qairul mengangguk perlahan. Seketika kemudian, pintu bilik itu dibuka.
Jururawat datang untuk menghantar bayinya.
Qairul mengangkat bayi itu lalu
diserahkannya kepada Hanna. Mulut Hanna yang pucat tersenyum lebar. Anaknya
tidak apa-apa. Satu perasaan hangat menjalar di hatinya. Perasaan ingin
melindungi dan menyayangi.
Wajah bayi itu dipandang lama. Tapi,
apa yang dia nampak di wajah itu adalah wajah Qarizh. Muka bayi itu sangat
mirip dengan Qarizh.
“Muka dia..”
“Macam Qarizh kan? Mestilah, itu kan
anak dia. Hanna dah fikirkan nama untuk baby?” belum sempat ayatnya dihabiskan,
Qairul sudah memotong.
Seakan mengiakan pendapatnya. Hanna
merenung bayi itu lama. Anak daddy ya? Muka macam daddy. Bebola mata warna
hazel macam daddy.
“Hanna tak fikir lagi. Banyak benda
yang berlaku, Hanna jadi terlupa. Apalah Hanna ni, benda penting pun Hanna
boleh lupa. Sibuk sangat uruskan barang keperluan untuk baby, sampai lupa
fikirkan nama dia,”
Hanna menutup perlahan mulut baby
itu yang menguap. Qairul hanya memandang.
“Macam mana kalau kita namakan dia
Qaireen Haisya?” Hanna tersentak. Dia memandang ke arah Qairul.
“Macam mana abang tahu? Qaireen
Haisya?” Qairul hanya mengangkat bahu.
“Abang teka ja. Hanna memang nak
letak Qaireen Haisyakah?” Hanna mengangguk perlahan. Dalam otaknya berfikir
laju. Bukan nama itu yang pernah dicadangkan oleh Qarizh dahulukah? Qairul dan
Qarizh? Tapi, Riz mana tahu jantina baby ni.
“Haah. Qaireen Haisya Hickman binti
Qarizh Hauzan Hickman,” lancar nama itu keluar dari mulut Hanna.
Qairul tersenyum. Tercapai impian
kau Riz. Anak kau dinamakan dengan nama yang kau pilih. Dia memandang baby itu
lama. Habislah Haisya besar nanti, nama panjang sangat. Penat nak menulis.
“Abang!” Qairul mengangkat muka. Dia
memandang wajah Hanna yang kelihatan gelisah.
Hanna berfikir seketika. Dia nak
tanya atau tak? Dia dapat merasakan yang Qarizh datang sewaktu dia bersalin
tadi. Menggenggam tangannya erat. Tapi, dia takut jikalau itu hanya halusinasinya
sahaja. Dia tak nak menanggung sakit hati yang menggila. Dia tak sanggup
mendengar bahawa Qarizh tak mempedulikannya. Dia tak sanggup menahan pedihnya
hati apabila mengetahui bahawa Qarizh tidak ada di sisinya ketika dia
melahirkan.
Dia tak sanggup. Hatinya tak sedia
untuk mendengar semua penjelasan itu. Dia sudah cukup terluka dengan tindakan
Qarizh yang meninggalkannya begitu sahaja. Dia tak sanggup menambah luka di
dalam hati lagi.
“Kenapa?” Hanna hanya menggelengkan
kepala. Dia tak sanggup.
“Qarizh? Dia ada kat Dubai sekarang.
Dia tak datang pun tengok Hanna,”
Zap!
Hatinya seakan dihiris sembilu. Dia
tak datang? Hanna cuba menahan air mata yang seakan ingin terjatuh. Sabar hati.
Sabar.
“Abang ada call dia, tapi dia kata
dia sibuk, jadi dia tak boleh datang,” Qairul menambah lagi.
“Sudah abang. Jangan cakap apa-apa
lagi. Hanna dah tahu. Dia memang macam tu. Siapalah Hanna ni dalam hidupnya
abang? Hanna ja yang bodoh, tak sedar diri. Sedangkan perempuan macam Hanna,
tak pernah sekali pun ada tempat di hatinya,”
Lirih suara itu. Hanna mengetap
bibir. Sedarlah Hanna! Dia tak sayangkan kau! Dia tak nak kau! Dia dah tak
pedulikan kau! Kau mampu hidup tanpa dia, Hanna! Kau mampu!
Tunjukkan kepada dia yang kau mampu
berdiri tanpa dia, Hanna! Buktikan kepada dia yang kau mampu hidup tanpa dia! Prove it to him, Hanna!
Qairul hanya memandang. Dia tiada
niat untuk memperbetulkan penyataannya. Dia tersepit. Dia terhimpit. Di sebelah
kiri kawan, di sebelah kanan adik.
Mungkin, hanya dengan cara ini,
Hanna akan menjadi lebih kuat. Dia tak mahu tengok Hanna menangis lagi sendirian.
Dia tak mampu tengok air mata ini menangis kerana merindui. Dia sudah lelah
melihat hidup Qarizh yang terseksa tanpa Hanna.
Biarlah semua ini jadi begini hari
ini. Untuk kali ini, permintaan Qarizh akan ditunaikannya. Qarizh tak nak Hanna
tahu yang dia di sini. Jadi, setelah dia pertimbangkan, lebih baik dia mengikut
kata-kata Qarizh.
Maafkan abang, Hanna. Ini lebih baik
untuk Hanna. Qarizh akan menghilangkan diri, Hanna. Bukan untuk beberapa bulan,
tapi bertahun Hanna. Abang tak mampu untuk tengok Hanna terseksa merindui dia.
Abang tak sanggup.
“PUAN,” Hanna berpaling ke arah Ratna. Buku yang dibacanya
diletakkan di tepi. Matanya menjemput kedatangan Ratna. Ratna mengambil tempat
di sisinya. Tangannya digenggam erat.
“Saya harap puan bersabar dengan apa
yang saya nak bagi tahu puan,” berkerut kening aku apabila mendengar mukadimah
yang keluar dari bibir Ratna.
“Kenapa? Bukan semuanya baik-baik sahaja? Saya
selamat. Haisya selamat,” Ratna hanya tersenyum tipis.
“Operation
semalam bukan operation biasa,”
Hanna hanya mendiamkan diri. Tapi, di dalam mindanya terkandung beribu
persoalan. Apa maksud Ratna?
“Operation
semalam merupakan emergency operation
untuk selamatkan puan dan baby. Contraction
yang puan rasa semalam sudah menyebabkan rahim puan koyak. Dan, menyebabkan
bleeding yang banyak.
Puan hilang 1.4 litre daripada darah
puan which mean puan kehilang ¼ darah
dari badan puan sebab seorang yang bertubuh kecil macam puan hanya mempunyai 4
hingga 4.5 litre darah ja. Dan, kalau puan terlambat beberapa minit semalam,
puan akan mati,”
Hanna terkaku. Penjelasan daripada
Ratna membuatkan dia terkedu. Dia tak tahu hendak buat apa dalam keadaan ini.
Mujur, nyawanya masih panjang. Jika tidak, hanya jasad kakunya yang menjadi
santapan mata ketika ini.
“Rahim puan koyak sepanjang 4 cm ke
bawah. Dan, mujur ia tidak terkena pada cervix.
Kalau puan ingin mengandung lagi, puan akan menghadapi beberapa komplikasi.
Antaranya, puan akan mengandung di luar rahim dan risiko yang puan akan hadapi
lebih tinggi semasa pembedahan.
Puan juga akan melahirkan anak lebih
awal, pada minggu ke 36 atau minggu ke 37. Hanya cukup untuk mematangkan
paru-parunya sahaja. Tujuannya adalah untuk mengelakkan contraction daripada berlaku,”
Penjelasan daripada Ratna seakan
halilintar yang menghentam tubuhnya. Seteruk itukah keadaannya tadi? Padanlah
muka Qairul amat lega apabila menatap wajahnya tadi. Rupanya, itukah
penderitaan yang diterimanya sebentar tadi?
Dan, suaminya tiada di sisi? Qarizh
tiada?
Tidak dapat dia bayangkan betapa
terlukanya hatinya ketika ini. Dia menghadapi masa yang paling perit dalam
hidupnya, dan lelaki itu tiada di sisinya. Jatuh air mata di pipinya. Sama ada
kerana terluka dengan sikap Qarizh. Atau, disebabkan penjelasan Ratna sebentar
tadi.
Dia tak tahu. Dia mungkin boleh
mengandung lagi, tapi risikonya terlalu tinggi. Dia memejamkan matanya erat.
Pergilah, derita. Pergilah jauh dari
diri ini. Aku sudah penat.
No comments:
Post a Comment