“DAH bersedia?” Hanna menjeling ke arah abangnya tajam. Sengaja sahaja ingin memperkena hatinya.
“Hanna dah move on dengan dia,” Hanna bersuara keras. Cuba membuktikan kepada
abangnya yang dia sudah bahagia tanpa Riz.
“Are
you sure? Jangan main cakap ja. Mungkin Hanna rasa Hanna dah boleh move on sebab Hanna tak nampak dia.
Tapi, sekarang Hanna dah nampak dia. Bolehkah Hanna cakap macam tu lagi?”
Qairul menjongket kening. Mencabar Hanna untuk berkata-kata.
Hanna mencebikkan mulut. Suka hati
dia ja nak buat keputusan macam tu!
Namun, jelas ketika ini. Hatinya
berdebar. Menunggu kehadiran Qarizh bersama dengan beberapa manusia lain.
Walaupun riuh suasana di sekelilingnya, tapi dalam otaknya semuanya hanya
kosong semata.
Melihatkan kereta itu berhenti di
hadapan mereka dan reporters mengelilingi kereta itu. Dia tahu bahawa lelaki
itu sudah tiba. Hatinya seakan hilang rentak apabila dia melihat lelaki itu di
hadapan mata.
Karisma lelaki itu masih terserlah.
Sama seperti sewaktu dia pergi 3 tahun lepas. Dia masih begitu. Tetap lelaki
yang sama yang mencuri hatinya 8 tahun dahulu.
Lelaki itu berjalan melangkah
mendekati mereka. Muzik di sekelilingnya seakan hilang bersama rentaknya. Yang
dia nampak ketika ini, hanya lelaki itu. Tingkah lelaki itu yang bersahaja dan
menyambut huluran salam yang lain. Cincin masih tersemat indah di jari lelaki
itu.
Menandakan dia sudah terikat.
Menandakan dia sudah berpunya. Menandakan dia masih setia. Hanna melihat
jarinya yang sudah kosong. Biarpun terselit cincin di situ, tapi itu bukan
cincin perkahwinannya. Itu hanya cincin berlian yang dibelinya. Bagi menggantikan
tangannya yang kosong, tiada serinya.
Namun, di jari lelaki itu. Itu
cincin perkahwinannya. Di sebelah kiri, masih terukir indah. Namun di sebelah
kanan, sudah kosong tanpanya. Tanpa sedar, hatinya menyukai perkara itu.
Cincinnya hanya di sebelah kiri. Menandakan dia beristeri seorang.
Sebelum ini, kedua-dua belah
tangannya dipakai cincin. Menandakan dia beristeri dua. Mungkin, Qarizh tak
berniat. Tapi baginya, pemakaian cincin merupakan satu simbolik. Simbolik yang
menunjukkan segalanya.
Dia hanya membisu. Fikirannya
kosong. Dia hanya mengikuti rentak yang lain. Berjalan memasuki dewan tersebut
dan mengambil tempat di atas kerusi.
Betullah kata Qairul. Sebelum ini,
dia mampu bercakap besar. Mampu membuktikan hatinya sudah kosong tanpa Qarizh
kerana lelaki itu tiada di hadapan matanya. Sekarang, lelaki itu di hadapannya.
Hatinya gagal mengekalkan rentak yang sama. Jantungnya berdetak laju. Rindunya
seakan mencengkam jiwa.
Hanna. Kau kena kuat. Dia yang
putuskan untuk meninggalkan hubungan ini. Tapi, kau yang minta! Dia hanya
mengikuti permintaan kau. Kau minta dia menjauh. Kau minta dia pergi daripada
hidup kau. Dia hanya mengikuti. Jadi, kenapa kau beranggapan bahawa kau mangsa
ketika ini?
Sebab, aku tak memaksudkannya. Aku
harap dia akan terus berada di sisi. Tetap berdegil untuk menemani. Tapi, siapa
sangka yang dia akan mengikuti kata-kata aku dengan semudah itu? Karakteristik
dia bukan begitu. Dia seorang yang degil dan utuh pada katanya. Tapi, kenapa
dia mengikut permintaan aku begitu sahaja? Adakah dia memang menanti?
Hati ini masih sangsi. Pelbagai
soalan masih terkurung di minda. Sayang ini masih ada. Cinta ini masih mekar.
Membuatkan aku seperti hendak menghentakkan kepala ini ke dinding! Kenapa masih
ada cinta? Kenapa masih ada getar? Kenapa aku masih takut untuk menatap
sebening mata itu? Kenapa?!
Sudah 3 tahun berlalu, sepatutnya
hati ini sudah tegar. Tapi, tidak. Jiwa ini masih sama. Masih merindui. Masih mengasihi.
“Apa khabar hati?”
Dia masih menyintai.
MATANYA
cuba dialihkan daripada terus memandang wanita itu. Wanita yang semakin bergaya
di pandangan matanya kini. Mungkin, kerana sebelum ini dia hanya terperuk di
rumah. Yang membataskannya daripada bergaya dan menyolek.
Tapi, hari ini dia sudah bebas dan
mampu mengorak langkah sendiri. Cantiknya masih begitu. Walaupun usianya sudah
menjejak angka 3 series, tapi
kejelitaannya tidak dimamah usia.
Dia dapat merasakan pandangan wanita
itu tajam kepadanya. Dan, jujur dia akui. Hatinya masih ada getar apabila
berhadapan. Dan, keputusan yang diambilnya itu tidak salah. Dia masih
menyayanginya jadi kenapa perlu melukai?
Sekilas, dia cuba menjeling ke arah
jari wanita itu. Terselit sebentuk cincin, tapi itu bukan cincin
perkahwinannya. Cincin itu lebih elegan dan disinari permata yang berkilau.
Berlian. Mungkin, itu namanya.
Namun, cincin perkahwinan mereka
lebih simple rekaannya. Mempunyai
tiga permata dan disusun selari. Permata itu tidak terlalu menonjol namun
apabila diperhatikan secara dekat, permata itu mempunyai biasan cahaya yang
menunjukkan bentuk hati. Intan. Itu pilihannya untuk dijadikan simbolik
perkahwinan mereka.
Hatinya menahan getar. Jantungnya
berdegup kencang. Rindunya semakin mencengkam. Dibatukan diri daripada
bertindak. Dibekukan diri daripada berkata. Ditahan dirinya daripada terus
memeluk tubuh kecil itu.
Dia melangkah diikuti yang lain.
Mengambil tempat duduk di hadapan pentas. Hanna duduk di sisinya. Sememangnya,
itu tempat yang dikhaskan baginya. Di dewan ini dan di hati ini.
“Apa khabar hati?”
Dia masih menyayangi.
ROSE mencapai
telefon bimbitnya. Dia menghantar mesej kepada abangnya. Memberitahu bahawa
situasi di sini baik-baik sahaja. Dia mengerling sekilas ke arah orang ramai.
Mencari kelibat Hanna.
Kemungkinan besar, dia akan dapat
melihat Qarizh di situ. Namun, dia terkedu apabila melihat lelaki yang berada
di sisi Hanna. Qairul!
Dia mengerdipkan matanya berulang
kali. Untuk memastikan betulkah apa yang dia nampak ketika ini? Dia mengesatkan
matanya berulang kali. Berhati-hati agar tidak merosakkan bulu mata palsunya.
Betul, dia! Lelaki yang dihancurkan
hatinya ketika dahulu. Kenapa perlu kami bertembung sebegini? Di saat dia ingin
mengenali kakak iparnya.
Apa kaitan dia dengan Hanna? Dia
memegang degup jantungnya. Masih berdegup kencang seperti dahulu. Walaupun dia
melukai, tetapi hatinya tetap mencintai lelaki itu. Ah! Kenapalah benda ni jadi
macam ni?!
Apa khabar hati?
Dia masih merindui.
APA khabar
hati?
Soalan yang sama diajukan kepada
Qarizh dan Hanna. Tapi, hanya kerlingan mata yang menjadi jawapan. Mereka
menjawab menggunakan bahasa hati. Dan, bahasa mata.
Dia tersenyum lebar. Dia
mengharapkan Qarizh untuk kembali mengejar. Tapi, tak tahulah. Dengan kedegilan
Qarizh dan ketegasan Hanna. Dia tidak tahu masa depan mereka berdua. Tapi, apa
yang dia mahu ialah mereka berdua kembali bersatu. Itu sahaja.
Namun, setakat ini. Sepanjang majlis
berjalan, tiada satu pun perkataan yang diucapkan oleh Hanna mahu pun Qarizh.
Ucapan Qarizh pun tak ada perkataan
yang menunjukkan bahawa Hanna itu isterinya. Apa yang berada di fikiran Qarizh
ketika ini? Dia tak mahu mengumumkan kepada dunia bahawa Hanna isterinya?
Biarlah. Hanya dia yang tahu.
Qairul memandang deretan model yang
berjalan di atas pentas ragaan itu. Matanya terpaku. Dia terkedu. Benarkah
gadis itu di hadapan matanya ketika ini?
Roseline?
“Hanna, siapa perempuan tu?”
Dia menyuarakan pertanyaan. Dia
ingin pastikan kata hatinya salah. Bukan! Bukan perempuan itu! Bukan perempuan
sama yang memberikan harapan palsu kepadanya suatu ketika dahulu! Bukan dia!
Bukan!
“Oh.. Tu Rose. Hanna suruh dia
gantikan model Hanna yang tak datang hari ni? Cantik kan?” penyataan Hanna
seakan menjerut lehernya.
Ezra Roseline Gray. Kenapa kau
muncul? Apa maksud kau? Kau ingin merobek hati ini lagikah? Aku tak mampu
menanggung sakit itu lagi. Aku masih terseksa.
Apa khabar hati?
Jiwa ini masih terluka lagi.
No comments:
Post a Comment